Ahad, 22 Mei 2016

Peringkat lukisan kanak-kanak






Lukisan merupakan luahan jiwa seseorang kanak-kanak sama ada yang boleh melukis ataupun hanya di peringkat contengan. Hasil lukisan kanak-kanak biasanya menggambarkan apa yang berlaku terhadap dirinya atau apa yang diinginkannya.



Terdapat beberapa pandangan tokoh terhadap lukisan kanak-kanak yang berusia 2 hingga 4 tahun. Antaranya ialah:

(a) Teori Perkembangan Artistik Al Hurwitz dan Day (2001)

Peringkat Manipulatif atau Zaman Awal Kanak-kanak (2 – 4 tahun)

Pada peringkat ini lukisan yang dihasilkan oleh kanak-kanak adalah tidak terkawal dan lebih merupakan contengan. Lukisan ini lebih bergantung pada keupayaan otot dan keselarasan koordinasi mata dan tangan kanak-kanak. Walaupun berupa contengan, namun mereka mengenal dan dapat menyebut rupa yang dihasilkan. Inilah yang menjadi kekaguman kepada orang dewasa.  Peringkat ini berkembang secara progresif dalam lingkungan umur 2 – 4 tahun.










(b) Teori Perkembangan Artistik Lowenfeld dan Brittain (1988)

Peringkat Contengan (2-4 tahun)

Peringkat contengan ini merupakan peringkat penghasilan contengan secara rawak dan tidak terkawal. Kanak-kanak berlatih melakukan pergerakan tangan secara bebas dengan melukis garisan menegak, melintang dan bulatan setelah dapat menguasai koordinasi otot tangan.









(c) Teori Perkembangan Artistik Luquet (2001)

Melibatkan tiga peringkat lukisan awal kanak-kanak iaitu peringkat Fortuitous Realism, Failed
Realism dan Intelectual Realism.










Terapi seni melukis penting untuk kanak-kanak atas sebab-sebab berikut :

(i) Sebagai alat komunikasi – lukisan merupakan bentuk komunikasi awal sebelum kanak-kanak berupaya untuk bertutur. Ia merupakan cara berkesan untuk berkomunikasi.

(ii) Cara mencapai kepuasan diri – kanak-kanak boleh meluahkan perasaan dan emosi. Dengan melukis juga kanak-kanak mampu membina kekuatan otot serta koordinasi tangan dan mata mereka. Lukisan juga dapat membantu menajamkan daya fikir kanak-kanak.

(iii) Meningkatkan daya penguasaan kendiri (self esteem) - kanak-kanak dapat memperoleh kepuasan dengan meluahkan apa yang dilihat menerusi lukisan. Dengan melukis mereka dapat meningkatkan daya sensitiviti dan kreativiti.

Rujukan
http://www.programpermata.my/resources/resource/BUKU_INTERPRETASI_(UPSI).pdf

Tiada ulasan:

Catat Ulasan